Saturday, 14 March 2015

Berlumba-lumbalah Melakukan Kebaikan


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلا أَنْ هَدَانَا اللَّهُ. أشهد الا اله الا الله وأشهد أن محمد رسول الله. اَللَّهُمَّ صَلِّوَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ أَمَّا بَعْدُ.
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat ilahi kerana pada hari ini Allah masih memberikan kita kekuatan dan kemampuan untuk sama-sama kita hadir di majlis ilmu ini. Semoga kehadiran kita dapat menambahkan keyakinan dan keimanan kepada Allah Taala serta mendekatkan kita kepadaNya. Semoga kita dalam kalangan orang yang sentiasa mencintai kebaikan. Maka tajuk yang ingin  kita bincangkan pada hari ini ialah “Berlumba-lumbalah dalam melakukan kebaikan”.
Firman Allah Taala dalam Surah Al-Imran ayat 185:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ
Ertinya: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati.
Kematian adalah suatu kepastian, namun demikian bila kita akan mati adalah rahsia Allah Taala. Oleh yang demikian, maka kita seharusnya senantiasa menyiapkan bekalan untuk diri kita sebelum kita kembali bertemu dengan Allah Taala.
Firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah ayat 148:
وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيْهَا فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ أَيْنَ مَا تَكُوْنُوْا يَأْتِ بِكُمُ اللهُ جَمِيْعًا إِنَّ اللهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ
Ertinya: Dan setiap umat mempunyai kiblat yang dia menghadap kepadanya. Maka  berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana sahaja kamu berada pasti allah akan mengumpulkan kamu semuanya. sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Sahabat Yang Saya Kasihi Sekalian,
Pada hari ini saya ingin berkongsi suatu kisah benar yang berlaku pada zaman pemerintahan khalifah Umar r.a. Pada suatu hari seorang pemuda mengheret seorang lelaki ke mahkamah dan membawanya ke hadapan saidina umar ibnu khattab. Dan pada ketika itu orang-orang madinah berkumpul dan perkara ini menjadi bual bicara orang-orang madinah.Maka saidina umar bertanya “apakah yang berlaku sebenarnya?Maka dalam keadaan muka yang bengis, marah ,sedih dan kecewa kedua orang pemuda tadi berkata “kami telah membawa seorang anak muda yang mengakui ia telah membunuh bapa kami”.
Maka saidina umar memandang kepada anak muda yang dibawa oleh kedua beradik tadi dan bertanya perihal yang berlaku lalu anak muda ini berkata “Wahai Amirul Mukminin, saya dari negeri yang jauh datang ke madinah menunggang seekor unta. Sampai di suatu tempat saya tertidur, bila saya terbangun dari tidur alangkah terkejutnya bila saya dapati bahawa unta saya dah terbaring mati pada ketika itu”.
Dan saat itu datang seorang lelaki tua dan memberitahu bahawa dia yang telah membaling batu pada unta ini yang menyebabkan kematian unta itu. “Wahai Amirul Mukminin, saya melakukan tanpa saya sedari, saya merampas batu tersebut dan saya hentak ke kepala lelaki tua ini dan luka itu yang menyebabkan kematiannya”. Dan dengan darah itulah saya mencari siapakah waris keluarga tersebut, dan saya berjumpa dengan anaknya lalu anaknya membawa saya ke sini. Saidina Umar berkata “Bukankah kamu ketahui bahawa apabila membunuh kamu pasti dibunuh”.Maka anak muda itu menjawab “Ya, sesungguhnya orang yang membunuh pasti dibunuh, tetapi saya rela dihukum didunia agar saya tidak dihukum dihadapan Allah dihari akhirat nanti”.
Maka saidina umar memutuskan hukuman baginya adalah hukum bunuh. Tetapi pada saat itu lelaki ini meminta satu rayuan dia berkata “Wahai Amirul Mukiminin, saya minta sangat agar dilepaskan saya sebentar sebab ada urusan untuk  diselesaikan dan memberitahu keluarga dan saudara yang lain bahawa saya akan dihukum bunuh”. Saidina umar berkata “bagaimana mungkin kamu yang dihukum bunuh dibenarkan lepas”. Tetapi rayuan itu datang dari anak muda ini dan saidina umar ketika itu membuat keputusan “boleh, dengan syarat ada penjaminnya”.
Maka saidina umar bangkit dan bertanya kepada mereka yang berada dimahkamah ketika itu “siapakah yang sanggup menjamin anak muda ini?”. Selepas beberapa kali bertanya kelihatan dibelakang seorang lelaki mengangkat tangan dan menyebut “saya menjamin anak muda ini”. Siapakah lelaki itu? Dia adalah Abu Dzar al Ghifari Umar bertanya “Maka tahukah kamu wahai Abu Dzar kiranya lelaki ini tidak pulang, apakah yang akan terjadi padamu?”. Abu Dzar menjawab “saya sedar dan saya akan menyiapkan diri saya untuk dibunuh menggantikannya”.Oleh kerana perjanjian tersebut maka lelaki ini dilepaskan, dia pulang kekampungnya dan bersalaman dengan ahli keluarganya dan dia menceritakan bahawa dia akan dibunuh. Dan ayat yang sama keluar dari mulutnya “saya rela dihukum didunia agar saya tidak dihukum dihadapan Allah dihari akhirat nanti”.
Maka sampai hari yang telah ditetapkan, dimahkamah orang sedang berkumpul kerana hukuman bunuh akan dilaksanakan dan pada saat menjelang asar anak muda ini tidak datang. Dua beradik tadi mendatangi Abu Dzar dan memintanya untuk bersedia. Abu Dzar berkata “tunggu sehingga habis waktu asar kerana hari kita berakhir pada waktu asar”.
Maka dibawa Abu Dzar untuk menggantikan tempat lelaki muda tersebut. Disaat sedikit lagi azan maghrib akan dilaungkan, tiba-tiba diufuk sana kelihatan kuda yang ditunggang laju dan bila sampai dekat baru mereka tahu bahawa yang menunggangnya ialah anak muda itu, dia melompat turun dan berlari ditengah orang ramai dan berkata “saya datang untuk dihukum saat ini”. Maka bertakbir semua orang. Dan saidina umar bertanya “mengapa kamu lambat?”.
Dia berkata dalam perjalanan untuk sampai ke sini tali kekang kudanya telah putus dan saya berusaha sekeras mungkin menunggang dengan laju agar saya tidak lewat untuk dihukum didunia agar saya tidak dihukum diakhirat kelak. Maka saidina umar melihat ketulusan hati anak muda ini dan pada masa yang sama hanya sedikit waktu Abu Dzar akan dihukum. Maka saidina umar bertanya kepada Abu Dzar “wahai Abu Dzar apa yang menyebabkan engkau mengambil tempat untuk menjamin anak muda yang engkau tidak kenal ini?”. Jawab Abu Dzar “aku tidak mahu suatu hari nanti orang berkata, sahabat nabi yang duduk bersama nabi ditarbiah dan dididik oleh nabi s.a.w. adalah orang yang tidak pedulikan saudaranya ketika saudaranya meminta tolong, aku tak nak orang berkata kemudian nabi ada sahabat yang tidak tahu menolong orang bila diminta tolong”. Dan dua orang pemuda melihat semua drama yang berlaku depan matanya sambil berkata “kami tak nak orang yang duduk bersama sahabat nabi akan disebut orang keras hati dan tidak mampu memaafkan saudara kami sendiri walaupun dia telah mengakui kesalahannya yang besar”. Dan pada petang ini kami dengan penuh rela memaafkan anak muda ini diatas kejujuran dan keikhlasannya.
Wahai sahabat sekalian,
Apa yang kita dapat dari kisah ini?Islam itu ada dalam diri mereka sebenarnya tanpa perlu dikaunseling. Apabila Allah nak kita jadi seorang yang baik, maka Allah akan campakkan dalam hati kita rasa nak buat kebaikan rasa nak tolong orang rasa peduli tentang kesusahan orang lain. Dan perkara yang paling baik adalah buat baik kepada kedua ibu bapa kita. Kadang-kadang kita sangat berkira nak buat kebaikan, tapi sayangnya kita berkira dengan Allah Taala, sedangkan kita tidak tahu diantara banyak kebaikan yang kita lakukan kebaikan manakah yang akan membuka jalan kita untuk ke syurga. Kebaikan yang kita lakukan itulah pergerakan yang membawa kita semakin hampir kepada Allah. Walau sekecil mana sesuatu kebaikan yang kita bangunkan, kita semakin rapat dengan Allah sebenarnya. Begitu juga sebaliknya semakin kita melakukan dosa kita semakin menjauhkan diri kita dari Allah Taala.  Analoginya seperti kita bergerak menuju utara kita sebenarnya semakin menjauhkan diri dari selatan.
Sahabat seperjuangan sekalian,
Orang-orang soleh selalu mengukirkankan kata-kata ini dengan linangan air mata, apa kata mereka “sekiranya nikmat Allah itu untuk kita bilang maka kita tidak mampu menghitungnya apatah lagi untuk kita membalas balik dengan kebaikan-kebaikan yang Allah berikan pada kita”. Justeru itu, nikmat mana lagikah yang ingin kita dustakan?. Apakah dengan segala nikmat yang Allah kurniakan pada kita saat ini, kita masih belum terpanggil untuk melakukan kebaikan? Allah Maha Baik dengan kita. Dia telah membentang dihadapan kebaikan demi kebaikan. Mengapa kita rasa susah nak buat kebaikan, tetapi kita dengan senang hati melakukan dosa dan maksiat. Sesungguhnya syaitan tidak pernah berputus asa untuk menghasut kita melakukan kemaksiatan, mengapa mesti kita berputus asa dari melakukan kebaikan. Sesungguhnya rahmat Allah itu amat luas.


Sahabat yang dikasihi Allah sekalian,
Walau sekecil mana sekalipun sesuatu kebaikan, ia memberi sumbangan yang amat besar kepada langkah menghampirkan diri kepada Allah. Semakin banyak kebaikan yang mampu dilakukan, semakin hampirlah seseorang kepada Allah dan semakin mudah memperoleh ketenangan dalam hidup. Pada masa yang sama ia sedang membawa kita makin jauh dari ufuk kebatilan dan kekufuran. Inilah nilai tambah bagi setiap amal soleh. Andaikata seseorang sedang melakukan maksiat hakikatnya dia menjauhkan dirinya daripada Allah. Pada masa yang sama jauh dari kasih sayang dan rahmat-Nya. Kalau kita tak mampu nak bawa orang dekat pada Allah, jangan kita jadi penyebab orang menjauhkan diri dari Allah. Kita semua adalah khalifah Allah dan tugas kita adalah menyeru orang buat baik dan menegah manusia dari melakukan kemungkaran.
Wahai Bakal Penghuni Syurga sekalian,
Setiap apa yang saya ucapkan pada hari ini sebenarnya adalah untuk menasihati dan memuhasabah diri saya sendiri dan dalam masa yang sama memberi peringatan kepada anda semua tentang suatu perkara bahawa kita sebenarnya seorang pengembara yang sedang mencari bekalan dan amalan untuk dibawa ke destinasi yang seterusnya. Diatas rasa kasih dan sayanglah saya menyeru kepada diri saya dan sahabat sekalian marilah sama-sama kita berusaha untuk menjadi seorang yang lebih baik dan sama-sama kita perbanyakkan amalan-amalan soleh. Dan kata-kata Brother Firdaus Wong Wai Hong dan Brother Lim “Berdakwah untuk tidak Didakwa”, Akhir kata saya sudahi dengan lafaz yang mulia:
وبالله التوفق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته.


No comments: