السلام
عليكم ورحمة الله وبركاته
الْحَمْدُ
لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلا أَنْ هَدَانَا
اللَّهُ. أشهد الا اله الا الله
وأشهد أن محمد رسول الله. اَللَّهُمَّ
صَلِّوَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ
أَجْمَعِيْنَ أَمَّا بَعْدُ.
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat ilahi
kerana pada hari ini Allah masih memberikan kita kekuatan dan kemampuan untuk
sama-sama kita hadir di majlis ilmu ini. Semoga kehadiran kita dapat
menambahkan keyakinan dan keimanan kepada Allah Taala serta mendekatkan kita
kepadaNya. Semoga kita dalam kalangan orang yang sentiasa mencintai kebaikan.
Maka tajuk yang ingin kita bincangkan pada
hari ini ialah “Berlumba-lumbalah dalam melakukan kebaikan”.
Firman Allah Taala dalam Surah Al-Imran
ayat 185:
كُلُّ
نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ
Ertinya: Tiap-tiap yang bernyawa akan
merasai mati.
Kematian adalah suatu kepastian, namun
demikian bila kita akan mati adalah rahsia Allah Taala. Oleh yang demikian,
maka kita seharusnya senantiasa menyiapkan bekalan untuk diri kita sebelum kita
kembali bertemu dengan Allah Taala.
Firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah
ayat 148:
وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ
هُوَ مُوَلِّيْهَا فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ أَيْنَ مَا تَكُوْنُوْا يَأْتِ بِكُمُ
اللهُ جَمِيْعًا إِنَّ اللهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ
Ertinya: Dan setiap umat mempunyai kiblat
yang dia menghadap kepadanya. Maka
berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana sahaja kamu
berada pasti allah akan mengumpulkan kamu semuanya. sesungguhnya Allah Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Sahabat Yang Saya Kasihi Sekalian,
Pada hari ini saya ingin berkongsi suatu
kisah benar yang berlaku pada zaman pemerintahan khalifah Umar r.a. Pada suatu
hari seorang pemuda mengheret seorang lelaki ke mahkamah dan membawanya ke
hadapan saidina umar ibnu khattab. Dan pada ketika itu orang-orang madinah
berkumpul dan perkara ini menjadi bual bicara orang-orang madinah.Maka saidina
umar bertanya “apakah yang berlaku sebenarnya?Maka dalam keadaan muka yang
bengis, marah ,sedih dan kecewa kedua orang pemuda tadi berkata “kami telah
membawa seorang anak muda yang mengakui ia telah membunuh bapa kami”.
Maka saidina umar memandang kepada anak
muda yang dibawa oleh kedua beradik tadi dan bertanya perihal yang berlaku lalu
anak muda ini berkata “Wahai Amirul Mukminin, saya dari negeri yang jauh datang
ke madinah menunggang seekor unta. Sampai di suatu tempat saya tertidur, bila
saya terbangun dari tidur alangkah terkejutnya bila saya dapati bahawa unta
saya dah terbaring mati pada ketika itu”.
Dan saat itu datang seorang lelaki tua
dan memberitahu bahawa dia yang telah membaling batu pada unta ini yang
menyebabkan kematian unta itu. “Wahai Amirul Mukminin, saya melakukan tanpa
saya sedari, saya merampas batu tersebut dan saya hentak ke kepala lelaki tua
ini dan luka itu yang menyebabkan kematiannya”. Dan dengan darah itulah saya
mencari siapakah waris keluarga tersebut, dan saya berjumpa dengan anaknya lalu
anaknya membawa saya ke sini. Saidina Umar berkata “Bukankah kamu ketahui
bahawa apabila membunuh kamu pasti dibunuh”.Maka anak muda itu menjawab “Ya,
sesungguhnya orang yang membunuh pasti dibunuh, tetapi saya rela dihukum
didunia agar saya tidak dihukum dihadapan Allah dihari akhirat nanti”.
Maka saidina umar memutuskan hukuman
baginya adalah hukum bunuh. Tetapi pada saat itu lelaki ini meminta satu rayuan
dia berkata “Wahai Amirul Mukiminin, saya minta sangat agar dilepaskan saya
sebentar sebab ada urusan untuk diselesaikan dan memberitahu keluarga dan
saudara yang lain bahawa saya akan dihukum bunuh”. Saidina umar berkata
“bagaimana mungkin kamu yang dihukum bunuh dibenarkan lepas”. Tetapi rayuan itu
datang dari anak muda ini dan saidina umar ketika itu membuat keputusan “boleh,
dengan syarat ada penjaminnya”.
Maka saidina umar bangkit dan bertanya
kepada mereka yang berada dimahkamah ketika itu “siapakah yang sanggup menjamin
anak muda ini?”. Selepas beberapa kali bertanya kelihatan dibelakang seorang
lelaki mengangkat tangan dan menyebut “saya menjamin anak muda ini”. Siapakah
lelaki itu? Dia adalah Abu Dzar al Ghifari Umar bertanya “Maka tahukah kamu
wahai Abu Dzar kiranya lelaki ini tidak pulang, apakah yang akan terjadi
padamu?”. Abu Dzar menjawab “saya sedar dan saya akan menyiapkan diri saya
untuk dibunuh menggantikannya”.Oleh kerana perjanjian tersebut maka lelaki ini
dilepaskan, dia pulang kekampungnya dan bersalaman dengan ahli keluarganya dan
dia menceritakan bahawa dia akan dibunuh. Dan ayat yang sama keluar dari
mulutnya “saya rela dihukum didunia agar saya tidak dihukum dihadapan Allah dihari
akhirat nanti”.
Maka sampai hari yang telah ditetapkan,
dimahkamah orang sedang berkumpul kerana hukuman bunuh akan dilaksanakan dan
pada saat menjelang asar anak muda ini tidak datang. Dua beradik tadi
mendatangi Abu Dzar dan memintanya untuk bersedia. Abu Dzar berkata “tunggu
sehingga habis waktu asar kerana hari kita berakhir pada waktu asar”.
Maka dibawa Abu Dzar untuk menggantikan
tempat lelaki muda tersebut. Disaat sedikit lagi azan maghrib akan dilaungkan,
tiba-tiba diufuk sana kelihatan kuda yang ditunggang laju dan bila sampai dekat
baru mereka tahu bahawa yang menunggangnya ialah anak muda itu, dia melompat turun
dan berlari ditengah orang ramai dan berkata “saya datang untuk dihukum saat
ini”. Maka bertakbir semua orang. Dan saidina umar bertanya “mengapa kamu
lambat?”.
Dia berkata dalam perjalanan untuk sampai
ke sini tali kekang kudanya telah putus dan saya berusaha sekeras mungkin
menunggang dengan laju agar saya tidak lewat untuk dihukum didunia agar saya
tidak dihukum diakhirat kelak. Maka saidina umar melihat ketulusan hati anak
muda ini dan pada masa yang sama hanya sedikit waktu Abu Dzar akan dihukum.
Maka saidina umar bertanya kepada Abu Dzar “wahai Abu Dzar apa yang menyebabkan
engkau mengambil tempat untuk menjamin anak muda yang engkau tidak kenal ini?”.
Jawab Abu Dzar “aku tidak mahu suatu hari nanti orang berkata, sahabat nabi
yang duduk bersama nabi ditarbiah dan dididik oleh nabi s.a.w. adalah orang
yang tidak pedulikan saudaranya ketika saudaranya meminta tolong, aku tak nak
orang berkata kemudian nabi ada sahabat yang tidak tahu menolong orang bila
diminta tolong”. Dan dua orang pemuda melihat semua drama yang berlaku depan
matanya sambil berkata “kami tak nak orang yang duduk bersama sahabat nabi akan
disebut orang keras hati dan tidak mampu memaafkan saudara kami sendiri
walaupun dia telah mengakui kesalahannya yang besar”. Dan pada petang ini kami
dengan penuh rela memaafkan anak muda ini diatas kejujuran dan keikhlasannya.
Wahai sahabat sekalian,
Apa yang kita dapat dari kisah ini?Islam
itu ada dalam diri mereka sebenarnya tanpa perlu dikaunseling. Apabila Allah
nak kita jadi seorang yang baik, maka Allah akan campakkan dalam hati kita rasa
nak buat kebaikan rasa nak tolong orang rasa peduli tentang kesusahan orang
lain. Dan perkara yang paling baik adalah buat baik kepada kedua ibu bapa kita.
Kadang-kadang kita sangat berkira nak buat kebaikan, tapi sayangnya kita
berkira dengan Allah Taala, sedangkan kita tidak tahu diantara banyak kebaikan
yang kita lakukan kebaikan manakah yang akan membuka jalan kita untuk ke
syurga. Kebaikan yang kita lakukan itulah pergerakan yang membawa kita semakin
hampir kepada Allah. Walau sekecil mana sesuatu kebaikan yang kita bangunkan,
kita semakin rapat dengan Allah sebenarnya. Begitu juga sebaliknya semakin kita
melakukan dosa kita semakin menjauhkan diri kita dari Allah Taala. Analoginya seperti kita bergerak menuju utara
kita sebenarnya semakin menjauhkan diri dari selatan.
Sahabat seperjuangan sekalian,
Orang-orang soleh selalu mengukirkankan
kata-kata ini dengan linangan air mata, apa kata mereka “sekiranya nikmat Allah
itu untuk kita bilang maka kita tidak mampu menghitungnya apatah lagi untuk
kita membalas balik dengan kebaikan-kebaikan yang Allah berikan pada kita”.
Justeru itu, nikmat mana lagikah yang ingin kita dustakan?. Apakah dengan
segala nikmat yang Allah kurniakan pada kita saat ini, kita masih belum
terpanggil untuk melakukan kebaikan? Allah Maha Baik dengan kita. Dia telah
membentang dihadapan kebaikan demi kebaikan. Mengapa kita rasa susah nak buat
kebaikan, tetapi kita dengan senang hati melakukan dosa dan maksiat.
Sesungguhnya syaitan tidak pernah berputus asa untuk menghasut kita melakukan
kemaksiatan, mengapa mesti kita berputus asa dari melakukan kebaikan.
Sesungguhnya rahmat Allah itu amat luas.
Sahabat yang dikasihi Allah sekalian,
Walau sekecil mana sekalipun sesuatu
kebaikan, ia memberi sumbangan yang amat besar kepada langkah menghampirkan
diri kepada Allah. Semakin banyak kebaikan yang mampu dilakukan, semakin
hampirlah seseorang kepada Allah dan semakin mudah memperoleh ketenangan dalam
hidup. Pada masa yang sama ia sedang membawa kita makin jauh dari ufuk
kebatilan dan kekufuran. Inilah nilai tambah bagi setiap amal soleh. Andaikata
seseorang sedang melakukan maksiat hakikatnya dia menjauhkan dirinya daripada
Allah. Pada masa yang sama jauh dari kasih sayang dan rahmat-Nya. Kalau kita
tak mampu nak bawa orang dekat pada Allah, jangan kita jadi penyebab orang
menjauhkan diri dari Allah. Kita semua adalah khalifah Allah dan tugas kita
adalah menyeru orang buat baik dan menegah manusia dari melakukan kemungkaran.
Wahai Bakal Penghuni Syurga sekalian,
Setiap apa yang saya ucapkan pada hari
ini sebenarnya adalah untuk menasihati dan memuhasabah diri saya sendiri dan
dalam masa yang sama memberi peringatan kepada anda semua tentang suatu perkara
bahawa kita sebenarnya seorang pengembara yang sedang mencari bekalan dan
amalan untuk dibawa ke destinasi yang seterusnya. Diatas rasa kasih dan
sayanglah saya menyeru kepada diri saya dan sahabat sekalian marilah sama-sama
kita berusaha untuk menjadi seorang yang lebih baik dan sama-sama kita
perbanyakkan amalan-amalan soleh. Dan kata-kata Brother Firdaus Wong Wai Hong
dan Brother Lim “Berdakwah untuk tidak Didakwa”, Akhir kata saya sudahi dengan
lafaz yang mulia:
وبالله التوفق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته.
